Jika kerajaan sokong Sri Lanka, kami sokong Israel

ShareTweet+ 1Mail
PETALING JAYA: Masyarakat Tamil Malaysia akan terus membenci kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau terus menyokong tindak-tanduk kerajaan Sri Lanka, kata Presiden Tamilar Progressive Team, A Kalaimugilan.

Tamilar Progressive Team, sebuah NGO yang memperjuangkan isu pendidikan dan hak asasi manusia.

Kalaimugilan bertanya kenapa kepimpinan Najib dan kerajaan Barisan Nasional melihat Liberation of Tamil Tiger Eelam (LTTE) sebagai pengganas, sedangkan kerajaan Sri Lanka menghadapi pelbagai tuduhan pembunuhan etnik Tamil atau jenayah perang.

“Kenapa kerajaan masih menjemput Setiausaha Pertahanan Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa (Adik Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa) dalam satu majlis yang diadakan di Putrajaya beberapa hari lalu?

“Gotabaya kata LTTE terlibat dalam pengedaran dadah dan pengganas.

“Boleh tak Najib membuktikan dakwaan ini?

“Di Malaysia di kalangan masyarakat India 90 peratus adalah penyokong LTTE , termasuk saya sekali.

“Kami pernah menganjurkan pelbagai program termasuk ”Hari Pahlawan LTTE”.

“Kalau betul LTTE pengganas, kenapa kerajaan tidak mendakwa saya di mahkamah kerana menganjurkan program sedemikian? tanya Kalaimugilan.

Kalaimugilan berkata LTTE adalah pejuang bangsa Tamil dan juga wakil masyarakat Tamil sedunia.

“Najib sebagai pemimpin Islam dan memimpin sebuah negara majoriti Islam tidak ada perasaankah apabila masyarakat Islam di Sri Lanka turut ditindas oleh kerajaan Sri Lanka?

“Di mana maruah Najib sebagai seorang Islam apabila ada rakyat Sri Lanka beragama Islam turut ditindas di sana.

“Kalau kerajaan terus menyokong tindakan kerajaan Sri Lanka, maka kami akan menyokong kerajaan Israel.

“Kami akan menjemput Presiden Israel untuk program-program kami atau kami akan menyertai majlis-majlis dianjurkan oleh kerajaan Israel di luar Malaysia,” kata Kalaimughilan.

Kalaimugilan berkata sokongan masyarakat Tamil di Malaysia kepada LTTE samalah seperti mana sokongan masyarakat Melayu Islam Malaysia kepada pejuang Hamas di Palestin.